Keyakinan pelancong meningkat, nasihat perjalanan ke Sabah dikurangkan

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Januari -Beberapa buah negara daripada keseluruhan 25 negara telah mengurangkan tahap nasihat perjalanan (travel advisory) kepada rakyat masing-masing untuk ke Sabah daripada tahap tiga kepada tahap dua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa negara turunkan nasihat perjalanan Sabah dari Tahap Tiga ke Tahap Dua.
  • Peningkatan keyakinan pelancong terhadap keselamatan di pantai timur Sabah.
  • Empat hingga lima tahun tanpa insiden penculikan atau kegiatan lanun dilaporkan.
  • Kerajaan aktif menjalankan diplomasi untuk meyakinkan negara lain tentang keselamatan Timur Sabah.

Sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelancong terhadap tahap keselamatan khususnya di pantai timur Sabah.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum ini negara-negara berkenaan mengeluarkan nasihat perjalanan susulan beberapa insiden penculikan warga asing serta kegiatan lanun di kawasan berkenaan.

“Dalam tempoh empat hingga lima tahun kebelakangan ini, tidak lagi berlaku insiden penculikan warga asing. Tiada juga laporan berhubung kegiatan lanun atau rompakan yang mengganas di pulau-pulau mahupun kawasan daratan di Timur Sabah.

“Tahap Dua membenarkan lawatan, namun masih menasihatkan agar berhati-hati, termasuk mengelakkan kawasan pulau tertentu. Bagaimanapun, bagi kawasan di timur Sabah, keadaannya adalah selamat dan boleh dianggap hampir tiada nasihat perjalanan.” katanya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamad berkata, kerajaan terus mempergiat usaha diplomasi dan libat urus dengan negara-negara terlibat bagi meyakinkan mereka terhadap tahap keselamatan di Timur Sabah.

“Apa saja peluang untuk berbincang dalam hubungan dua hala ataupun pelbagai hala, kami membentangkan betapa keadaan di Timur Sabah ini telah menjadi kawasan yang bukan lagi seperti dulu.” katanya.