KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis dan Pingat Keberanian Polis (DKPP) Tahun 2024 di Istana Negara.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) Kehormat kepada Ketua Polis Indonesia, Listyo Sigit Prabowo dan Ketua Polis Filipina, Rommel Francisco D Marbil.
Pegawai tertinggi polis dari dua negara itu mendahului senarai 100 penerima pingat, termasuk empat pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Manakala, empat pegawai kanan PDRM yang mendahului senarai adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin; Timbalan Pengarah Cawangan Khas E1 Bukit Aman, Datuk Samsudin Basir; Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar dan Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada lapan penerima, Pahlawan Pasukan Polis (18 penerima), Kesatria Pasukan Polis (10 penerima) dan Bentara Pasukan Polis (58 penerima).
Penganugerahan DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan PDRM.
Hadir sama, Ketua Polis Negara,Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman; dan Timbalan Ketua Polis Negara, Dato' Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.