fb fb fb fb fb

KeTSA arah Jabatan Perhutanan segera kenal pasti kawasan berisiko tinggi, elak risiko bencana dan mitigasi


PUTRAJAYA, 11 Januari- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan laporan serta langkah mitigasi di kawasan berisiko tinggi di Seluruh Semenanjung.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak kementerian mengambil perhatian ke atas insiden berlakunya lambakan kayu hanyut, puing, gelinciran tanah dan kejadian kepala air di beberapa buah negeri ekoran berlakunya hujan lebat dan banjir besar.

"Sebagai tindakan serta merta, saya telah mengarahkan JPSM bekerjasama dengan semua Pengarah Perhutanan Negeri supaya segera mengenal pasti kawasan berisiko tinggi (hotspot) di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Pada masa ini, JPSM telah menggunapakai aplikasi sistem Forest Monitoring using Remote System (FMRS) termasuk penggunaan dron bagi tujuan penguatkuasaan, pemantauan dan pengesanan perubahan litupan kawasan hutan secara real time," katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu JPSM turut diminta mengenal pasti kawasan Taman Eko Rimba dan hutan-hutan lipur yang belum dipasang dengan sistem amaran awal untuk pemasangan segera. Ini bagi memastikan kawasan tersebut selamat kepada penduduk setempat dan orang awam.

Takiyuddin berkata dalam sektor pengurusan perhutanan, dasar Kerajaan Persekutuan adalah jelas iaitu berasaskan amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management - SFM).

Langkah itu juga selaras penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia mengambil tindakan ke arah meningkatkan kawasan berhutan sedia ada dari 43.41% kepada 50% menjelang tahun 2040.

"Ia selari dengan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-39 pada 21 Oktober 2021," menurut kenyataan tersebut.

Media Baharu