
KUALA LUMPUR, 11 Februari -Sebanyak RM2.5 bilion dijangka dapat dijimatkan pada tahun ini susulan pelaksanaan rasionalisasi RON95 yang bermula September lalu.
- Ketirisan subsidi berjaya dikekang selepas rasionalisasi RON95, menyumbang kepada penjimatan besar.
- Penguatkuasaan mengekang sindiket penyeludupan RON95 ke negara jiran.
- Penjimatan digunakan untuk tambah bantuan rakyat termasuk SARA dan STR.
- Kerajaan hargai rakyat yang menegur dan salurkan maklumat pembelian RON95 oleh warga asing.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan itu hasil daripada ketirisan subsidi yang berjaya dikekang dan aktiviti sindiket penyeludupan ke negara jiran yang berjaya dibendung.
Jelasnya, ia sekali gus mampu membiayai penambahan bantuan rakyat, khususnya Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Alhamdulilah dalam kerana kejayaan itu kita boleh perkenalkan beberapa program membantu rakyat termasuk STR dan juga SARA .Dua hari lalu 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun keatas menerima RM100 setiap individu melalui MyKad SARA untuk semua dan bayangkan dua hari kita ada belanja RM200 juta dan dua juta rakyat boleh gunakan dalam dua hari,” katanya di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar turut menghargai dan memuji keprihatinan rakyat yang bertindak menegur dan menyalurkan maklumat segala cubaan membeli RON95 oleh warga asing.
Katanya, ia tidak sekadar mempertahan hak sebagai rakyat Malaysia, malah cerminan semangat kenegaraan dan jati diri.