PUTRAJAYA, 29 Mei- Keterlibatan belia dalam sektor koperasi perlu dipertingkat berikutan peluang dan potensi yang tersedia perlu dimanfaat secara lebih luas.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk R. Ramanan, setakat ini penyertaan belia dalam gerakan koperasi masih lagi rendah dan belum mencapai tahap sasarannya.
Oleh itu, penglibatan belia dalam sektor itu dilihat dapat memperkukuh ‘rangkaian kerja’ dalam pelbagai bidang diceburi.
"Penglibatan remaja atau pemuda di dalam koperasi itu memang kurang. Bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Kami telah berbincang, dengan adanya Universiti Keusahawanan dan Koperasi di IKMa, yang pertama di dunia, saya rasa ini adalah peluang yang baik untuk belia dapatkan ilmu berkaitan koperasi."
"Kita tidak boleh pandang rendah, kita ada sekitar 15,809 koperasi dan 7.34 juta rakyat Malaysia adalah ahli koperasi. Ia bukan satu angka yang kecil," kata Datuk R. Ramanan kepada pemberita dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024), di sini.
Sementara itu, beliau juga turut memaklumkan Persidangan Koperasi Antarabangsa 2024 (ICC 2024) yang berlansung dua hari, bermula hari ini,
Program anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dihadiri 178 perwakilan dari pelbagai negara antaranya Thailand, Australia, Brunei, Korea dan Indonesia.
Bertemakan ‘Membentuk Potensi pertumbuhan Koperasi dalam Era Teknologi Disruptif untuk Pembangunan Mampan Inklusif’, membuka ruang untuk semua pihak mengemukakan idea dan pandangan yang boleh memacu perkembangan koperasi.