fb fb fb fb fb

Ketepikan fahaman politik agar bantuan banjir tidak tercicir

Dr. Muhamad Akmal Saleh (kiri) meninjau salah sebuah pusat pemindahan sementara di Kota Setar hari ini

ALOR SETAR, 22 September- Semua pihak perlu mengetepikan fahaman politik bagi memastikan penduduk terjejas banjir di negeri-negeri terlibat tidak tercicir dalam mendapatkan bantuan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata musibah tersebut memerlukan kerjasama dan koordinasi yang baik antara pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan pusat.

Sehubungan itu beliau menyambut baik langkah kerajaan yang menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir termasuk pengumuman peruntukan RM13 juta untuk bantuan di Kedah yang ketika ini sedang dilanda banjir di beberapa kawasan.

"Kami melihat bahawa sumbangan daripada kerajaan pusat yang diumumkan dapat disegerakan, kerana banjir ini menyebabkan pelbagai barangan hilang dan perabot rosak, yang menyukarkan proses pemulihan disebabkan birokrasi yang tinggi. Pengurusan banjir perlu dipermudahkan," katanya.

Dalam kesibukan berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota di Johor, pihaknya turut terlibat dalam Misi Bantuan Banjir Skuad Sabil Pemuda UMNO di Kedah.

Semua bahagian UMNO digerakkan untuk membantu termasuk memberi tumpuan kepada warga emas, ibu dan bapa tunggal dalam fasa pasca banjir.

Beliau juga meninjau tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Gunong dan SK Alor Merah di daerah Kota Setar.

Barangan keperluan seperti makanan, tilam dan kelengkapan penjagaan diri disumbangkan kepada penduduk yang berlindung di PPS berkenaan.

SITI AISHAH MD ISA