fb fb fb fb fb

Ketepi sengketa politik, ahli Dewan Rakyat sambut baik Titah Agong

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Ketepi sengketa politik demi kemaslahatan rakyat, itu antara seruan Yang Di Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Ahli Dewan Rakyat yang ditemui menyambut baik hasrat itu sekali gus komited untuk merealisasikannya.

"Peringatan Tuanku bahawa keberadaan semua ahli parlimen, ahli dewan mesti sentiasa mengingatkan diri bahawa keutamaan kita menjaga rakyat jelata, kedua, Baginda minta supaya diketepikan sentimen politik, beri ruang kepada Kerajaan Perpaduan untuk merangka, menyusun dasar-dasar untuk menunaikan hasrat pertama iaitu menjaga kebajikan rakyat. Jadi peri pentingnya ahli parlimen memahami bahawa tempoh untuk menentukan mandat itu semasa pilihan raya, tempoh sekarang untuk mengurus tadbir negara", kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution.

"Tuanku menyeru semua pihak dalam politik negara kita terutama dalam Dewan Rakyat sama ada kerajaan dan pembangkang perlu mencari jalan untuk bekerjasamsa untuk memastikan kestabilan politik kita terjaga. Ini demi pembangunan negara yang lebih baik dan juga dapat mengembalikan keyakinan dunia luar kepada negara kita. Jadi, keseluruhannya titah Yang di-Pertuan Agong menyeluruh dan Tuanku ingin melihat negara kita bersatu padu maju ke hadapan dan rakyat hidup dengan harmoni", ujar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

"Politik adalah satu kaedah untuk mencapai ke Dewan Rakyat atau Dewan Negara, tetapi yang pentingnya adalah semua pihak harus berkerjasama, kurangkan politiking termasuklah kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia ini yang perlu juga dihormati peranan mereka. Mereka juga mempunyai peranan dalam sebuah negara yang merdeka seperti  Malaysia ini", Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Soal bagaimana semua pihak kerajaan dan wakil rakyat pihak tidak kira di pihak kerajaan atau pembangkang meletakkan negara dan rakyat sebagai keutamaan dalam apa juga keputusan dan tindakan,sebab itu dalam keadaan negara menghadapi cabaran besar baik dari segi ekonomi dan sebagainya, maka tentunya ia juga memberi kesan kepada rakyat. Titah Baginda begitu jelas menekankan soal kepentingan rakyat sebagai keutamaan", kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Mereka ditemui selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen.

ROSLINA BINTI DIN