KUALA LUMPUR, 19 Mac- Ketegasan dan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan hak rakyat Palestin ketika berdepan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz wajar disokong dan dicontohi oleh pemimpin negara dan dunia Islam.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menerusi kenyataan berkata pendirian Perdana Menteri di persada dunia bukan sekadar kenyataan dalam negara malah tegas atas nama kemanusiaan dan menjadi bukti bahawa Malaysia sejak dahulu hingga kini tidak akan berganjak daripada prinsipnya dalam menyokong Palestin.
"Ketegasan mempertahankan nilai keadilan dan kemanusiaan itu menjadikan suara Perdana Menteri didengari dan negara Jerman yang dianggap penyokong utama Israel itu telah mengubah pendirian dengan menggesa Israel membuka lebih banyak akses bantuan untuk Palestin.
"Rakyat Malaysia juga diseru bersama-sama Perdana Menteri untuk memastikan hak-hak kebebasan dan kemerdekaan mutlak negara Palestin dapat dikecapi dengan mengenepikan perbezaan latar belakang ideologi, politik dan keagamaan serta tidak lagi bergelumang dengan isu-isu remeh temeh dalam negara," menurut kenyataan itu.
Tambahnya, YADIM bersedia menjalankan gerak kerja pendidikan dan penerangan ke insitusi-institusi pengajian bermula daripada peringkat sekolah hingga universiti bagi menyampaikan naratif mengangkat nilai kemanusiaan sejagat, perpaduan, keharmonian dan kemuliaan insan.