Ketegangan Iran-Amerika Syarikat perlu diselesaikan melalui saluran dua hala

Datuk Seri Mohamad ketika mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Januari – Malaysia menggesa semua pihak yang terlibat dalam ketegangan Iran–Amerika Syarikat agar kekal tenang serta menyelesaikan perbezaan melalui saluran dua hala dan pelbagai hala.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menggesa semua pihak kekal tenang dan menyelesaikan perbezaan melalui saluran dua hala dan pelbagai hala.
  • Peningkatan ketegangan disifatkan membimbangkan dan boleh menjejaskan kestabilan, perdagangan serta ekonomi global.
  • Malaysia berharap tindakan Washington dipertimbangkan dengan teliti untuk elakkan konflik serantau yang lebih meluas.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang peningkatan ketegangan susulan protes antikerajaan adalah membimbangkan dan berpotensi menjejaskan kestabilan global.

“Yang penting ialah pendirian masyarakat antarabangsa. Malaysia, sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, berpandangan bahawa sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan adalah tidak baik sama sekali.

“Kita tidak mahu perkara itu berlaku kerana banyak negara akan terkesan, bukan hanya negara di Timur Tengah. Ia juga akan menjejaskan perdagangan global dan membawa implikasi serius kepada ekonomi dunia,” katanya selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Datuk Seri Mohamad turut berharap Washington mempertimbangkan tindakannya dengan teliti, sambil memberi amaran bahawa peningkatan ketegangan selanjutnya berpotensi mencetuskan konflik serantau yang lebih luas dan boleh merebak kepada perang dunia ketiga jika tidak ditangani secara berhati-hati.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia memantau rapi prosiding di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mula mendengar kes bersejarah pada 12 Januari 2026 di The Hague, Belanda, iaitu kes yang dikemukakan Gambia terhadap Myanmar atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya.

Beliau berkata Malaysia sebagai anggota ASEAN, kekal konsisten dengan pendirian yang jelas untuk menuntut agar kekejaman di Myanmar dihentikan segera.

“Pendirian ASEAN sangat jelas, kita mahu kekejaman di Myanmar dihentikan. Hentikan pembunuhan terhadap rakyat sendiri, duduk berbincang dan libatkan semua pihak serta pemegang taruh supaya Myanmar dapat dibina sebagai satu Myanmar,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan