KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebulat suara bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan berkata Perintah Gaji Minimum baharu yang bermula Februari 2025, adalah seragam di seluruh negara tanpa mengira wilayah.
"Selaras dengan misi menaikkan lantai di dalam Ekonomi MADANI, pengumuman ini juga adalah sebahagian daripada usaha KESUMA dalam rangka menambah baik pendapatan golongan pekerja secara menyeluruh.
Selain pelaksanaan gaji minimum, strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja termasuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif (DGP) sebagai langkah baharu untuk mereformasi pasaran buruh dengan tujuan meningkatkan gaji pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti dan pengalaman," kata kenyataan itu.
Beliau turut menekankan gaji minimum tidak harus dijadikan gaji permulaan khususnya untuk para graduan dan pekerja yang berkemahiran.
Julung kalinya juga, KESUMA akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan berdasarkan Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO).
Ia bagi rujukan pekerja dan majikan dalam menentukan kadar gaji permulaan yang sesuai bagi sesuatu pekerjaan.
Sehubungan itu, pengumuman berkenaan mendapat reaksi positif daripada rakyat Malaysia.
"Saya rasa ini adalah permulaan yang baik. Ini kerana kos inflasi lebih tinggi, maka inisiatif ini akan membantu pekerja mendepani kos sara hidup," kata Patrick.
"Ini adalah inisiatif yang bagus. Perdana Menteri mengumumkan peningkatan gaji untuk pekerja swasta kepada RM1,700," kata Kumaran.
"Memandangkan barang keperluan pun dah naik harga, saya rasa pelaksanaan ini sangat tepat dengan situasi sekarang. Baguslah," kata Adam Hakimi.
"Bagi saya ialah satu peningkatan yang sangat bagus untuk rakyat. Satu berita gembira. Jadi, saya harap ini akan memberi impak yang baik kepada semua rakyat dan harapannya tahun-tahun mendatang dapat lagi kenaikan seperti ini," kata Adli Ariff.