KESUMA optimis pelaksanaan Skim Pengembara lebih awal

 Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan/ BERNAMA

PETALING JAYA, 6 Mac – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yakin Skim Pengembara, yang bertujuan melindungi kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, dapat dilaksanakan lebih awal daripada sasaran asal.

RINGKASAN BERITA AI
  • PERKESO bergerak pantas; kajian pelaksanaan selesai dan skim dijangka dimuktamadkan lebih awal, sebelum berakhir suku kedua.
  • Skim bertujuan menutup jurang perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja yang berulang-alik di sempadan negara.
  • Pelaksanaan mesti dibentangkan dan melalui proses bacaan serta penelitian sewajarnya sebelum sebarang kelulusan rasmi diberikan.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata walaupun sasaran asal pelaksanaan adalah pada penghujung tahun ini, berdasarkan momentum kerja PERKESO, beliau yakin skim ini dapat dimuktamadkan lebih awal, sebelum berakhirnya suku kedua tahun ini.

Kajian pelaksanaan skim tersebut telah selesai sepenuhnya dan diharapkan dapat menutup jurang perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja Malaysia yang berulang-alik di sempadan negara.

“Kita sasarkan perkara ini pada hujung tahun ini. Namun, berdasarkan perkembangan dan pergerakan PERKESO di bawah kepimpinan Datuk Seri Azman serta Pengerusi PERKESO, Datuk Seri Subahan, saya yakin ia mungkin dapat diselesaikan lebih awal, iaitu sebelum suku kedua tahun ini.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu kerana ia tidak boleh diluluskan begitu sahaja. Ia perlu melalui proses bacaan dan penelitian sewajarnya sebelum sebarang kelulusan diberikan”, katanya.

Terdahulu, beliau ditemui media sempena Majlis Iftar KESUMA PERKESO LINDUNG 2026.

Majlis itu turut menyaksikan komitmen berterusan PERKESO dalam menyantuni golongan yang memerlukan menerusi penyampaian faedah dan sumbangan berjumlah lebih RM500,000.

Inisiatif ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat yang memerlukan terus terpelihara melalui sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif dan progresif.