fb fb fb fb fb

Kestabilan politik pelihara perpaduan, lonjak ekonomi negara - PM

Anwar Ibrahim

MIRI, 28 September- Kestabilan politik bukan sahaja memelihara perpaduan dan keharmonian, tetapi juga mampu melonjakkan ekonomi negara, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyatakan bahawa kestabilan politik telah berjaya menarik pelabur dengan mencatatkan rekod baharu pelaburan tertinggi melebihi 18.1 peratus.

"Sebab itu, saya menyokong hasrat pimpinan untuk memastikan politik stabil dan menumpukan perhatian kepada pembangunan," katanya.

Anwar menambah kestabilan politik perlu dijaga untuk merapatkan perpaduan, merentasi kefahaman politik dan mengelakkan unsur hasutan negatif yang boleh menjejaskan kemajuan negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.

Perdana Menteri juga menjelaskan Program Madani Rakyat berupaya memberi impak positif dalam mengenal pasti cabaran dan masalah yang dihadapi masyarakat, serta memberikan ruang kepada kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan secara langsung.

"Ini menunjukkan bahawa program-program menyantuni rakyat perlu diikuti secara langsung. Ia bukan sekadar teori dalam merangka program, tetapi memerlukan kehadiran di lapangan untuk mendapatkan pandangan, maklumat, teguran dan kritikan daripada rakyat tentang apa yang perlu diperbaiki," katanya.

Seramai 70,000 pengunjung memeriahkan program tersebut, membuktikan bahawa inisiatif kerajaan untuk turun padang dan mendekati rakyat mendapat sambutan positif.

SITI AISHAH MD ISA