fb fb fb fb fb

Kestabilan politik bawa pembangunan dan kemajuan di Sarawak

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Datuk Joseph Salang Gandum semasa menghadiri Majlis Makan Malam Amal Pra Gawai 2024 Parti Rakyat Sarawak/Foto BERNAMA

SIBU, 19 Mei- Kestabilan politik membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak antaranya pengenalan teknologi hidrogen kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan usaha yang dilakukan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pembangunan dan kemajuan bidang teknologi itu bergerak maju.

Menurut Ahmad Zahid tidak ada negeri di Malaysia yang mempunyai tujuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti di Sarawak yang menyediakan pengajaran dalam bidang teknologi seperti Internet Kebendaan, robotik dan teknologi baharu.

"Saya berkata demikian bukan kerana membandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, namun hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai atas usaha Tan Sri Abang Johari yang bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan pra-Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) 2024 di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sokongannya terhadap TVET sebagai aliran baharu dalam sistem pendidikan negara.

Perkara itu disebabkan bidang berkenaan adalah pilihan kepada anak-anak yang gagal dalam bidang akademik suatu ketika dahulu.

"Tetapi Sarawak telah menggantikannya sebagai pilihan pertama anak-anak muda untuk mendapatkan pelajaran. Inilah yang dijadikan contoh dan kemajuan ini saya yakin adalah kerana kepimpinan yang baik oleh Tan Sri Abang Johari," katanya.

Ahmad Zahid berkata selagi beliau diberikan amanah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneraju Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, beliau akan memberikan keutamaan kepada kemajuan infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak.

Meskipun bukan terletak bawah tanggungjawab kementeriannya, Ahmad Zahid berkata beliau akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri membantu dalam memajukan rumah-rumah panjang yang uzur, musnah kerana kebakaran atau dilanda banjir.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Presiden PRS Datuk Joseph Salang Gandum turut menghadiri majlis itu.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memberi jaminan projek-projek bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah diluluskan di Sarawak akan dipercepat perlaksanaannya.

Beliau akan membawa projek berkaitan untuk perhatian Kementerian Kerja Raya sambil menyatakan komitmen untuk lebih kerap ke Sarawak bagi memastikan kelancaran projek. 

Tegasnya, rakyat di desa amat memerlukan pembangunan infrastruktur seperti projek bekalan air, elektrik dan prasarana lain di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang.

"Walaupun rumah panjang bukan menjadi tanggungjawab langsung KKDW tetapi atas sifat saya yang sangat dekat dengan penduduk rumah panjang, KKDW turun membantu rumah-rumah panjang untuk diperbaiki.

"Apatah lagi terdapat rumah panjang yang telah uzur, yang berlaku kebakaran , yang dilanda banjir dan juga beberapa permasalahan infrastruktur, saya komited untuk membantu rumah panjang bersama-sama dengan kerajaan negeri Sarawak,"katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI