
PUTRAJAYA, 6 Februari– Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, khususnya sepanjang lawatan rasmi pemimpin negara asing ke Malaysia.
- Kerajaan tidak akan benarkan sebarang cubaan mencetuskan gangguan keselamatan semasa lawatan rasmi tetamu negara.
- Langkah tegas akan diambil untuk memastikan keselamatan awam dan keselamatan tetamu negara terpelihara.
- KDN akan keluarkan kenyataan penuh dan dapatkan maklumat lanjut daripada Bukit Aman mengenai isu berkenaan.
Menteri Komunikas, Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Perdana Menteri telah membuat keputusan bahawa pendirian kerajaan adalah untuk tidak mengizinkan mana-mana pihak mencetuskan sebarang bentuk gangguan keselamatan, khususnya ketika negara akan menerima kehadiran tetamu dalam masa terdekat.”
“Sehubungan itu, langkah tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam serta keselamatan tetamu negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung isu berkenaan serta mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Bukit Aman.
Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini memaklumkan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia akan berlangsung selama dua hari bermula esok.
Kehadiran beliau adalah bagi memenuhi jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lawatan balas, susulan lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024.