KUALA LUMPUR, 28 November - Kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan ahli akademik sedang dikaji dalam usaha membina keupayaan dalam bidang keselamatan siber.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pada masa sama sekumpulan bakat teknologi mahir dengan kepakaran lanjutan dan keupayaan teknikal seperti penggunaan teknologi pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) juga perlu dipupuk untuk tujuan keselamatan siber.
"Mengambil kira entiti-entiti ini telah menjadi komponen penting dalam struktur ekonomi negara sebagai penyedia perkhidmatan strategik untuk pendidikan, elektrik, telekomunikasi, perbankan, perkhidmatan kewangan dan lain-lain.
"Kelebihan ini patut dimanfaatkan sebaiknya dalam bentuk satu sinergi atau perkongsian bijak untuk melonjakkan lagi pencapaian dan keberhasilan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program PNB Planet Cyber 2023 anjuran Permodalan Nasional Bhd (PNB), di sini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber dijangka akan dibentang seawal-awalnya pada sidang Parlimen pertama tahun depan.
"Sidang Dewan Rakyat kali ini akan tamat pada 30 November ini, jika tidak pada sidang kali ini saya percaya InsyaAllah seawal sidang pertama tahun hadapan dan ia akan ambil sedikit masa kerana undang-undang ini baru sahaja disiapkan dan masih dalam proses mendapat ulasan dari kementerian-kementerian, jadi proses dia masih panjang," katanya.