
KUALA LUMPUR, 19 Februari – Peniaga dan pengendali makanan khususnya di bazar Ramadan diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya garis panduan keselamatan makanan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
- Peniaga bazar Ramadan mesti patuhi garis panduan keselamatan makanan KKM untuk elak pencemaran dan keracunan.
- Simpan dan kendalikan makanan pada suhu betul untuk kurangkan pertumbuhan bakteria semasa selang masa penyediaan dan jualan.
- Pengendali wajib hadiri latihan, dapatkan suntikan anti-tifoid dan amalkan kebersihan diri termasuk apron serta penutup kepala.
Tindakan tersebut penting bagi mengelakkan risiko pencemaran dan keracunan makanan sepanjang Ramadan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Komunikasi dan Kepenggunaan, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Mohd Fakarudin Masod berkata antara faktor utama yang menyumbang kepada risiko keselamatan makanan ketika Ramadan ialah kaedah penyediaan serta penyimpanan yang tidak mengikut amalan kebersihan ditetapkan.
Menurut beliau, kebanyakan peniaga menyediakan makanan seawal pagi sedangkan jualan hanya bermula lewat petang.
Tambah beliau, selang masa yang panjang ketika penyediaan dan penjualan boleh meningkatkan risiko pertumbuhan bakteria sekiranya makanan tidak disimpan pada suhu yang betul.
“Dalam keadaan cuaca panas dan persekitaran bazar yang berdebu, makanan yang tidak ditutup atau tidak dikendalikan dengan baik mudah terdedah kepada pencemaran silang, lalat serta habuk,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Kota Media di sini hari ini.
Beliau menegaskan semua premis dan pengendali makanan tertakluk kepada Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Di bawah peraturan tersebut, pengendali makanan wajib menghadiri latihan pengendalian makanan dan mendapatkan suntikan anti-tifoid, selain mematuhi keperluan kebersihan diri termasuk pemakaian apron, penutup kepala serta amalan kebersihan tangan yang baik.