DENGKIL, 8 Februari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus memperkasa kesedaran berhubung keselamatan penggunaan kolam mandi di rumah inap.
Aspek itu penting untuk diberi perhatian meski rekod kemalangan jiwa akibat lemas adalah rendah.
Ketua Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam JBPM, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata rumah inap menjadi antara fokus utama keselamatan di air sepanjang 2024 di semua negeri.
"Rumah inap adalah tempat yang berisiko juga dan tahun 2024 kita akan fokuskan dalam memberi kesedaran itu."
"Arahan daripada ketua pengarah, untuk pastikan semua negeri untuk buat penguatkuasaan di rumah inap dan juga bagi kesedaran," kata Mohamadul Ehsan kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, pemakaian jaket keselamatan dan kawalan oleh petugas rumah inap antara langkah awal yang boleh dipraktikkan bagi mencegah sebarang kemalangan di air.