fb fb fb fb fb

Keselamatan kejiranan, komuniti jadi mata dan telinga pihak berkuasa - MCPF

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad

GURUN, 23 Jun- Setiap individu dan komuniti setempat perlu memainkan peranan lebih proaktif dan efektif dalam membantu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga dan mengawal keselamatan di kawasan kejiranan.

Kerjasama yang erat sesama komuniti setempat dapat mencegah aktiviti jenayah daripada terus berleluasa.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata kebanyakan kes-kes jenayah berlaku disebabkan oleh kecuaian, sikap alpa dan tidak ambil peduli tentang suasana persekitaran.

Malah ada juga yang masih tidak mengenali jiran sebelah rumah walaupun sudah lama mendiami kawasan tersebut.

Justeru, pihaknya akan terus memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan bertanggungjawab terhadap kawasan sekeliling.

Antaranya menganjurkan program-program yang boleh memberi impak positif kepada masyarakat.  

"Jadi, sebab itu seperti kes-kes yang berlaku kadang-kadang jenayah itu berlaku adalah orang yang tinggal satu kawasan sama dengan kita, boleh jadi tepi rumah kita sahaja."

"Maka, kami membuat program MCPF bersama dengan PDRM untuk membentuk dan memberi pendedahan kepada masyarakat agar celik serta menjadi mata dan telinga dalam membantu PDRM membanteras jenayah di kawasan kejiranan anda," kata Datuk Dr Zulkifly kepada pemberita selepas merasmikan Program Team Building Pengukuhan Pasukan Kesukarelawan dan Kepimpinan, di sini.

Program anjuran MCPF Kedah dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Program bertujuan untuk mewujudkan masyarakat yang celik jenayah dan sentiasa peka dengan suasana persekitaran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM