fb fb fb fb fb

Kesediaan produk, kriteria utama sebelum bawa usahawan ke ekspo luar negara - KUSKOP

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 23 Jun- Kesediaan produk untuk dieksport, menjadi antara faktor utama yang akan dinilai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebelum membawa usahawan menyertai ekspo di luar negara.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata faktor tersebut penting, bagi memastikan produk dapat memenuhi permintaan di luar negara.

Antara faktor lain yang diberi perhatian sebelum membawa usahawan ke ekspo antarbangsa, adalah penjenamaan dan pembungkusan. 

Untuk itu, KUSKOP bersama agensi terlibat, komited membangunkan usahawan sedia ada, terutama dalam aspek mutu dan perkhidmatan produk mereka.

"Kita mendapat pandangan apabila kita bawa mereka ke luar negara, potensi jualan di luar negara itu ada permintaan ke atas produk mereka. Bagaimanapun, ada yang tidak dapat memenuhi kerana kapasiti mereka ada di negara. Jadi, perkara ini semua ini kita perlu bangunkan," kata Ewon kepada pemberita.

Datuk Ewon ditemui pemberita semasa Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Selatan dan Festival Keusahawanan Maju Johor 2024 di Johor Bahru.

Komitmen akan diteruskan kementeriannya dengan membawa syarikat-syarikat francais tempatan ke Thailand pada bulan hadapan, untuk menyertai ekspo francais di negara itu.

Sepanjang tahun ini, KUSKOP telah membawa usahawan tempatan ke Dubai, dan Indonesia.

Dalam pada itu, Datuk Ewon memberitahu, RM9.221 juta potensi jualan PADANIAGA berjaya dicatatkan sepanjang anjuran SDSI di Johor Bahru, melepasi sasaran awal RM1 juta.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM