Kesedaran menabung pendidikan meningkat, lebih 7.3 juta akaun SSPN dibuka

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyerahkan sumbangan akaun SSPN kepada 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di Bukit Besi, Dungun

DUNGUN, 14 Februari – Tahap kesedaran orang ramai untuk menabung bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), mencatatkan peningkatan melebihi 70 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kesedaran menabung: akaun SSPN kini lebih 7.3 juta, menunjukkan pertumbuhan signifikant dikeseluruhan negara.
  • Akses mudah melalui aplikasi myPTPTN membolehkan pembukaan akaun dan simpanan tanpa perlu ke cawangan.
  • SSPN tawarkan faedah menarik seperti potongan gaji, perlindungan takaful penuh dan pengecualian cukai sehingga RM8,000.

Ini dapat dilihat menerusi jumlah akaun SSPN yang dibuka di seluruh negara mencecah 7.314 juta dengan simpanan hampir RM24 bilion, berbanding 6.54 juta akaun yang dibuka dengan deposit terkumpul RM18.85 bilion pada 31 Ogos 2024.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata peningkatan itu juga disumbangkan hasil pelancaran aplikasi mudah alih myPTPTN yang membolehkan simpanan dibuat tanpa perlu ke cawangan berhampiran.

“Kita hanya perlu RM20 untuk buka akaun, jadi saya rasa kalau di luar bandar pun RM20 ini bolehkan. Tidak adalah banyak sangat. Jadi kalau dia ada RM30 sebulan dia tabung RM30, yang berkemampuan mungkin boleh letak RM100 atau RM200. Jadi bagi saya satu kadar yang sangat minimum dan mampu dilakukan semua rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan akaun SSPN kepada 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di Bukit Besi dalam Program komuniti PTPTN bersama UMT Holdings di sini, hari ini.

Setiap seorang pelajar menerima sumbangan RM75, masing-masing RM50 daripada PTPTN dan RM25 daripada UMT Holdings.

Hadir sama, Pengerusi UMT Holdings, Datuk Din Adam dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim.

Produk SSPN, termasuk SSPN Plus dan SSPN Prime, menawarkan potongan gaji bulanan, perlindungan takaful penuh dan pengecualian cukai sehingga RM8,000 menjadikannya pilihan menarik ibu bapa demi masa depan pendidikan anak-anak.