fb fb fb fb fb

Kes ugutan senjata: ADUN Hulu Kinta belum hadir ke balai

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Noor Hisam Nordin /Foto BERNAMA

IPOH, 14 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad masih belum tampil memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan melakukan ugutan jenayah menggunakan objek menyerupai pistol.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, setakat ini polis telah merakam percakapan daripada lapan individu dan sedang mengesan saksi lain yang dipercayai melihat kejadian tersebut.

“Kita masih menunggu YB hadir ke balai polis untuk dirakam percakapan. Kes ini masih dalam siasatan. Sebenarnya kita tidak berikan tarikh akhir kepada beliau, tetapi kita berharap beliau akan hadir dalam minggu ini.

“Kita faham beliau juga sibuk dengan kempen di Ayer Kuning, jadi diharap beliau dapat tampil dalam masa terdekat, mudah-mudahan minggu ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah serta Pengerusi PERKEP Daerah bagi IPD Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi satu minit lima saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai ADUN Hulu Kinta menunjukkan objek menyerupai pistol kepada seorang calon dan beberapa individu yang sedang merayu undi.

Sementara itu, Hisam memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan polis berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning setakat ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga kini, sebanyak lima permohonan ceramah telah diterima dan semuanya telah diluluskan.

“Sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas sehingga semalam, sebanyak 17 aktiviti kempen telah dijalankan oleh ketiga-tiga parti yang bertanding.

"Daripada lima permohonan ceramah yang diterima, semuanya telah diluluskan.

"Dua pada Sabtu dan tiga lagi semalam,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan semua parti yang bertanding agar terus berkempen secara berhemah serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sepanjang tempoh PRK berlangsung.

“Kita harap semua pihak kekalkan kempen dalam keadaan baik dan elakkan sebarang perkara yang boleh mencetuskan ketegangan atau melanggar undang-undang,” tambah beliau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD