fb fb fb fb fb

Kes Tibi di Sarawak membimbangkan- Lukanisman

Datuk Lukanisman merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Tibi bagi tahun 2024 bersempena dengan Hari Tibi Sedunia di Klinik Kesihatan Jalan Merbau, Miri.

MIRI, 15 Jun- Senario penyakit Tibi di Sarawak adalah amat membimbangkan malah prevalens penyakit tersebut adalah tinggi berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pendekatan sewajarnya perlu diambil segera bagi membendung penularan penyakit berkenaan.

Katanya, pada tahun 2023, Sarawak mencatatkan 3,177 kes Tibi, menjadikannya negeri ketiga tertinggi selepas Sabah dengan 5,814 kes, dan Selangor dengan 5,631 kes.

Tahun lepas, negara telah mencatatkan lebih daripada 25,000 kes Tibi dan keadaan itu menunjukkan bahawa penyakit Tibi di negara ini merupakan satu masalah kesihatan awam yang semakin meruncing dan perlu dipandang serius.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesedaran Penyakit Tibi bagi tahun 2024 bersempena dengan Hari Tibi Sedunia di Klinik Kesihatan Jalan Merbau, Miri.

Kempen bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyakit Tibi, simptom-simptom penyakit Tibi, cara-cara pencegahan, dan kepentingan mendapatkan rawatan awal.

Stigma dan diskriminasi terhadap pesakit Tibi hanya akan memburukkan keadaan dan menghalang pesakit daripada mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang diperlukan.

Oleh yang demikian beliau ingin menyeru kepada semua pihak untuk saling memberi sokongan dan dorongan terutamanya kepada mereka yang sedang menjalani rawatan Tibi.

Walaupun penyakit Tibi boleh membawa maut dan merupakan ancaman kepada kesihatan global termasuklah di Malaysia namun tenyakit ini boleh dicegah dan dirawat.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jalan Merbau Datuk Goh Kien Ping.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE