Kes tembak mati di Selangor dalam siasatan, belum ditutup

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SEPANG, 16 Januari Polis Selangor mengesahkan bahawa semua kes tembak mati yang berlaku di negeri itu, termasuk di Banting masih dalam siasatan dan belum ditutup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Selangor sah semua kes tembak mati di negeri itu masih dalam siasatan dan belum ditutup.
  • Hasil siasatan menunjukkan perkembangan positif tetapi butiran lanjut tidak didedahkan untuk elakkan gangguan siasatan.
  • Siapa terlibat pelbagai elemen, siasatan memerlukan penelitian rapi dan masa untuk dijalankan secara menyeluruh.
  • PDRM diminta diberikan keyakinan tinggi untuk menyelesaikan kes tembakan termasuk insiden di Klang dan Banting.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan setakat ini menunjukkan perkembangan positif namun pihak polis tidak dapat mendedahkan butiran lanjut kepada umum bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan.

Menurut beliau, siasatan melibatkan pelbagai elemen serta memerlukan penelitian rapi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Hasil daripada penemuan dan siasatan yang telah dilakukan memberi gambaran positif, cuma keputusan itu masih belum boleh dikongsikan secara terperinci kerana dibimbangi akan menggangu siasatan yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Daerah (IPD) KLIA di sini.

Beliau menegaskan bahawa semua kes tembak mati yang berlaku di Selangor sepanjang tahun 2025 masih aktif disiasat dan tidak ada satu pun yang ditutup.

Pihak polis memerlukan ruang dan masa bagi memastikan setiap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan berintegriti.

“Buat masa ini banyak aspek sedang disiasat dan banyak elemen terlibat. Ia tidak menjurus kepada satu elemen sahaja, termasuk gangsterisme,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut meminta semua pihak memberikan keyakinan tinggi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM dalam menyelesaikan semua kes tembak yang berlaku di Selangor.

Pada November 2025, seorang lelaki berusia 26 tahun ditembak mati dalam sebuah pacuan empat roda di Taman Mesra Indah, Klang dengan lima das tembakan pada jarak dekat.

Terbaharu, 4 Januari lepas seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian di sebuah restoran makanan segera di Banting.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.