fb fb fb fb fb

Kes status Tanah Rizab Melayu, beberapa individu akan dipanggil beri keterangan - SPRM

Foto RTM

SERI ISKANDAR, 9 Jun- Beberapa lagi individu akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan dakwaan pengubahan status Tanah Rizab Melayu seluas 650 hektar di Perak.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata saksi lain itu termasuk exco bertanggungjawab serta pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang bertugas ketika itu selain, meneliti minit mesyuarat berkaitan yang telah mendapat kelulusan exco.
 
"Siasatan sedang kita jalankan, masih memanggil beberapa saksi yang terlibat yang boleh membantu dalam isu ini,"

"Siasatan menunjukkan memang betul di mana Tanah Rizab Melayu itu telah ditukar kepada pemilikan pegangan bebas dan sekarang tanah telah dibangunkan kepada estet perumahan," kata Azam kepada pemberita hari ini, di Seri Iskandar.
 
Ditanya samada akan akan pertuduhan pada masa terdekat, beliau memaklumkan perkara itu belum dapat dipastikan lagi kerana siasatan masih di peringkat kedua.
 
Media sebelum ini melaporkan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM kerana disyaki memberi rasuah kepada seorang penjawat awam bagi mengubah status Tanah Rizab Melayu seluas 650 hektar.
 
Ia didakwa menyebabkan Tanah Rizab Melayu berkenaan dipecah sempadan dan dipindah milik kepada syarikat serta individu bukan Melayu.
 
Berikutan itu, suspek direman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM