fb fb fb fb fb

Kes sorok minyak masak paket 1kg, pemilik kedai runcit didenda - KPDN Kedah

Foto KPDN Kedah

KULIM, 8 Julai- Pemilik sebuah kedai runcit berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyembunyikan minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg).
 
Ia hasil pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kulim di sebuah kedai runcit di Taman Makmur, Kulim, Kedah pada Ahad.
 
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata pemeriksaan dilakukan hasil aduan awam dan risikan OPS Samar mengenai keengganan peruncit menjual minyak masak paket bersubsidi 1kg kepada pelanggan.
 
Beliau berkata tindakan awal dilakukan dengan membuat uji beli, namun ketika ia dilakukan didapati tiada minyak masak paket 1kg dipamerkan di rak jualan.
 
Setelah bertanya kepada seorang pekerja lelaki warga tempatan di premis berkenaan berhubung bekalan minyak masak paket 1kg, anggota tersebut dimaklumkan bahawa minyak masak paket 1kg di kedai runcit telah kehabisan stok.
 
Pasukan serbuan kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan lanjut dan telah menemui sejumlah minyak masak paket 1kg yang disimpan di dalam stor kedai runcit tersebut.
 
KPDN Kulim telah menyita 222 kilogram minyak masak paket 1kg bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM555 untuk tindakan lanjut.
 
Kes disiasat di bawah seksyen 16A (1) (a) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan mana-mana orang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00.
 
Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3,000,000.00 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00.
 
Dalam pada itu, kes berkenaan juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barang kawalan dan bersubsidi.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM