fb fb fb fb fb

Kes REE Kedah, SPRM akan panggil beberapa saksi lagi

Foto Fail

PUTRAJAYA, 31 Julai- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil beberapa lagi saksi untuk membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa melibatkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata siasatan mengenainya masih dijalankan.

"Bukan sahaja membabitkan isu wang tetapi berhubung dengan isu pematuhan dalam kelulusan hari ini. SPRM ini bila kita siasat, kita bukan saja siasat berhubung kesalahan rasuah sahaja, salah guna kuasa dan lain-lain.

Tanggungjawab kami juga tertakluk di bawah Seksyen 7, untuk kita melihat kepada sistem dan prosedur yang ada sekiranya ada berlaku kelemahan dan sebagainya," kata Azam kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Pemakaian Vest Body Worn Camera di Ibu Pejabat SPRM, di sini.

Setakat ini, SPRM telah menahan empat individu untuk tujuan siasatan.


(Foto Fail)

Dalam perkembangan lain, SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa agensi penguat kuasa tempatan yang terlibat dalam penyelewengan permohonan visa oleh warga Bangladesh yang memasuki Malaysia, dengan alasan melancong.

Tan Sri Azam Baki turut menegaskan bahawa perkara berkenaan masih dalam siasatan.

"Dalam kes ini, kita mengesyaki sejumlah wang yang banyak telah disalurkan dengan menggunakan sistem hawala kepada beberapa tempat.

Kita sedang cuba mengesan aliran wang itu yang mana ia di salah guna untuk tujuan pembayaran bagi perolehan visa pelancong untuk mereka masuk ke Malaysia," tambah Azam kepada pemberita.

Sistem hawala merupakan penghantaran wang melalui kaedah bawah tanah tanpa lingkungan sistem perbankan atau syarikat
kewangan rasmi.

Pada Jumaat lepas, SPRM menahan dua lelaki kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa oleh warga Bangladesh memasuki Malaysia, kononnya untuk tujuan melancong.

Media Baharu