fb fb fb fb fb

Kes pukul selesai cara baik, prebet dan penyelia berdamai

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan

IPOH, 13 Mac- Dakwaan kes pukul melibatkan seorang anggota prebet yang bertugas di Kem Rasah, Negeri Sembilan oleh penyelianya, Jumaat lepas telah selesai selepas kedua-dua pihak setuju untuk berdamai.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata kedua-dua pihak juga telah menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Jelas beliau siasatan lanjut, bagaimanapun masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian yang berlaku terhadap mangsa berumur 22 tahun itu.

"Hanya berlaku selisih faham apa yang dinyatakan di dalam laporan sebenarnya tidak begitu tepat, jadi perkara ini telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

"Saya percaya ini pun telah tertular di media sosial di mana mereka sama-sama telah pergi ke Balai Polis Seremban untuk menarik balik laporan tersebut,"katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Kem Syed Putra Ipoh yang menelan belanja RM6 juta.

Pembinaan masjid di atas tanah seluas dua ekar itu dijangka siap Ogos 2025 dan mampu menampung kira-kira 1,000 jemaah.

Terdahulu, tular di beberapa media sosial satu laporan polis serta beberapa keping gambar memaparkan kesan lebam pada bahagian belakang bahu dan siku mangsa.

Mangsa dilaporkan bertindak melarikan diri ke kampung keluarganya di Sungai Petani, Kedah kerana tidak tahan dipukul oleh penyelianya itu.

Mangsa mengadu perkara itu kepada keluarga sebelum abang kembarnya membuat laporan polis atas faktor keselamatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE