fb fb fb fb fb

Kes pukul pemandu OKU e-hailing: Malaysia ada undang-undang, Teo sokong titah TMJ

Teo Nie Ching ditemui pemberita selepas menyempurnakan flag off Larian Vegrun di Puteri Harbour / BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 2 Jun- Siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berhubung kes pengawal pengiring seorang kenamaan, yang didakwa memukul pemandu e-hailing berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), Mei lalu, perlu disiapkan segera.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sekiranya terdapat unsur jenayah, pelaku perlu dihadapkan ke mahkamah.

"Kalaulah ada unsur-unsur jenayah, silalah bawak pesalah itu ke mahkamah secepat mungkin supaya rakyat jelata faham bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang ada perlembagaan, undang-undang yang perlu dihormati dan juga diamal,"katanya.

Teo juga menyeru masyarakat untuk berhenti daripada membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

Beliau ditemui selepas perasmian Larian Vegrun di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, Teo turut menyokong titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang mahu siasatan menyeluruh dibuat berhubung kes pemandu e-hailing tersebut.

"Kenyataan Pemangku Sultan Johor sangat-sangat bijaksana dan ini menunjukkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) semestinya akan menjalankan satu siasatan yang telus.

"Paling penting saya harap pihak PDRM boleh menyiapkan siasatan secepat mungkin dan kalaulah ada unsur-unsur jenayah, silalah bawa pelakunya ke mahkamah secepat mungkin," katanya .

Sebelum ini, pemandu OKU tersebut membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengiring kepada seorang kenamaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 28 Mei lalu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, mangsa telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama, pada hari sama.

Terdahulu, pada Program Larian Amal Komuniti VegRun, lebih 3,400 peserta menyertai larian amal tersebut yang bertujuan memupuk gaya hidup dan pemakanan sihat.

Teo turut menyertai larian kategori 11 kilometer selepas menyempurnakan flag off acara amal itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE