fb fb fb fb fb

Kes pelajar Thailand bersekolah di Malaysia, KPM laksana siasatan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika ditemui media pada majlis perasmian sebuah kedai buku hari ini/BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 November- Siasatan akan dijalankan susulan laporan pelajar dari Thailand yang merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu tidak seharusnya berlaku sekiranya mereka merupakan warganegara.

Katanya, kerajaan telah menyediakan pelbagai akses dan kemudahan pendidikan buat rakyat.

"Kalau anak-anak ini adalah warganegara Malaysia, sepatutnya dia bersekolah dalam Malaysia dan tidak timbul isu daripada segi keselamatan mereka untuk menyeberangi sungai itu.

Tapi, kita akan siasat dan ambil maklum mengenai perkara ini kerana bilangan yang didakwa itu sangat tinggi," kata Fadhlina kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan MPH Bookstores, di sini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram merentasi Sungai Golok setiap hari untuk bersekolah di Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM