fb fb fb fb fb

Kes orang hilang, KDN nafi dakwaan peningkatan mendadak

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Julai- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan berlaku peningkatan mendadak terhadap kes orang hilang di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan data yang diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes membabitkan orang hilang kekal kira-kira 900 insiden setiap tahun.

"Dari tahun 2020 sampai Jun 2024, corak laporan polis terhadap insiden orang hilang ini kekal dengan angka kira-kira 900 setiap tahun."

Daripada kes orang hilang yang dilapor, saya lihat peratusan ditemui itu tinggi iaitu antara 85 hingga 90 peratus manakala yang kekal hilang itu sekitar 10 hingga 15 peratus," kata Saifuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini.

Tegasnya, pihak KDN dan PDRM sentiasa memandang serius setiap kes orang hilang yang berlaku di negara ini.

Sementara itu ketika ditanya media, berhubungan laporan platform Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur pada kedudukan ke-5 sebagai bandar raya paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.

Beliau memaklumkan pihaknya akan meneliti laporan tersebut, kerana ia bertentangan dengan Indeks Keamanan Global 2024 (GPI) yang menyenaraikan Malaysia di tempat ke-10 antara negara paling aman di dunia serta sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik.

"Data daripada GPI adalah jelas. Saya belum baca kayu ukur untuk Forbes. Saya tidak kata saya menidakkan tapi belum baca. Tetapi saya telah meneliti kayu ukur yang diguna pakai oleh GPI."

"Misalnya, demonstrasi kejam yang menyebabkan kematian nyawa dan nilai, persepsi terhadap penjenayah di negara ini, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita termasuk keselamatan yang sangat komprehensif," tambah Saifuddin.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM