GEORGE TOWN, 14 Disember– Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangka laporan penuh siasatan mengenai kes mayat bayi yang disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang akan siap selewat-lewatnya minggu depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) telah memulakan siasatan berhubung kes tersebut.
Menurut beliau, pihak KKM masih menunggu dapatan lengkap selepas Mesyuarat Pasca Kabinet yang diadakan semalam.
Beliau menegaskan bahawa KKM memberi perhatian serius terhadap kes itu, namun hasil siasatan yang teliti diperlukan untuk memastikan keadilan kepada semua pihak.
“Kita mesti memberikan perhatian penuh, namun pada masa sama kita perlu mendapatkan dapatan dan hasil siasatan yang sebenar. Tentunya, kita bersimpati dan empati dengan keluarga yang terlibat.
"Dalam masa sama, CKAPS akan terus melaksanakan pemantauan sebagai tanggungjawab utama KKM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan 1st Malaysia Community First Responder Conference di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan bahawa semua perkhidmatan hospital swasta di negara ini tertakluk kepada Akta 586, yang juga dikenali sebagai Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta.
KKM turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem penjagaan kesihatan awam, termasuk reformasi dalam penghantaran perkhidmatan, pengurusan sumber manusia, dan penambahbaikan klinik daif, sambil tidak mengabaikan sektor swasta, terutamanya berkaitan kos perubatan.