fb fb fb fb fb

Kes mahasiswa jadi keldai akaun semakin meningkat

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Pelaburan dan Pemalsuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Mohd Mahidisham Ishak

ARAU, 19 April- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kes membabitkan mahasiswa yang menjadi keldai akaun menunjukkan trend peningkatan sejak 2018 hingga kini.

Walaupun angka kes semakin bertambah, keadaan masih dianggap terkawal dengan pelbagai langkah intervensi telah diambil, termasuk pindaan undang-undang bagi memperkukuh aspek kawalan akaun peribadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Pelaburan dan Pemalsuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Mohd Mahidisham Ishak berkata, kes keldai akaun kini berada dalam kategori enam jenayah siber utama yang direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan kerugian mencecah berbilion ringgit.

Sehubungan itu, pindaan terhadap Kanun Keseksaan menerusi Seksyen 424A, 424B dan 424C telah diwartakan dan berkuat kuasa Oktober tahun lalu.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat berkaitan akaun mereka. Pindaan Seksyen 424A, B dan C kini telah dikuatkuasakan, dan PDRM akan memastikan maklumat ini sampai kepada golongan mahasiswa," katanya.

Tambah beliau, pemilik akaun kini perlu lebih bertanggungjawab kerana mereka boleh didakwa sekiranya akaun mereka digunakan bagi tujuan penipuan, sama ada disedari atau tidak.

Selain itu, katanya, PDRM kini sedang meneliti cadangan penambahan Seksyen 424D yang akan memberi fokus kepada aktiviti melatih individu menjadi keldai akaun, dengan hukuman lebih berat menanti pihak terlibat.

Dalam usaha memperkasa tindakan pencegahan, kerjasama turut dijalinkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi pembangunan “Fraud Portal” satu pangkalan data khas yang menyenarai hitam individu yang disabitkan kesalahan berkaitan akaun palsu dan penyalahgunaan akaun.

Portal ini akan menyekat individu terlibat daripada membuka akaun baharu di mana-mana institusi kewangan melainkan atas alasan yang dibenarkan.

Mohd Mahidisham berkata demikian kepada media selepas sesi taklimat sempena Program Accounting 2U Harumanis AA 2.0 di UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE