fb fb fb fb fb

Kes langgar basikal lajak: Kerani dibebas dan dilepaskan

(Sam Ke Ting/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 11 April- Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah membuat keputusan sebulat suara sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Ke Ting.

“Ketika Mahkamah Tinggi mensabitkan perayu atas pertuduhan itu, hakim hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.

"Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan," katanya.

Pada 13 April tahun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan kerani itu dikenakan hukuman berkenaan atas kesalahan dilakukannya pada 2017.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar, turut memerintahkan responden, Sam, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara.



(Sam Ke Ting (kiri) bersama barisan peguam yang mewakilinya untuk prosiding
rayuan sabitan kesalahan serta hukuman penjara enam tahun dan denda kerana memandu secara
melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak/BERNAMA)

Sam, pada mulanya dibebaskan dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 18 November 2019, atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian remaja yang menunggang basikal diubah suai, dikenali sebagai basikal lajak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi, 18 Feb 2017. 

Sam berumur 22 tahun ketika kejadian.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa sabitan terhadap Sam tidak boleh dikekalkan kerana pertuduhan yang dikenakan terhadapnya mempunyai kekurangan.

Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili wanita itu berhujah bahawa terdapat penggandaan pertuduhan kerana pendakwa raya telah memasukkan dua kesalahan berbeza dalam pertuduhan iaitu memandu secara melulu dan memandu secara berbahaya.

Peguam itu berkata berlaku prejudis terhadap anak guamnya kerana terdapat "kegagalan keadilan" kerana dia telah disabitkan dengan pertuduhan yang tidak diiktiraf dalam undang-undang.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Media Baharu