fb fb fb fb fb

Kes keropok beracun: Pekebun direman enam hari

Foto Hiasan

KULIM, 11 Julai- Seorang pekebun direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kematian seorang kanak-kanak selepas disyaki makan ringan berupa keropok beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini.

Perintah reman dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kulim Mirza Mohamad bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.

Terdahulu lelaki yang berpakaian lokap itu dilihat tiba di Kompleks Mahkamah Kulim kira-kira pukul 8 pagi.

Media sebelum ini melaporkan dua kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lepas.

Kedua-dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun berkenaan bagi memerangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu kanak-kanak berkenaan pada pukul 11 pagi selepas melihat kedua-dua anaknya muntah, dan mereka kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Malau sebelum dihantar ke Hospital Kulim dan seterusnya ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Muhammad Akil Syauqi bagaimanapun meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi semalam manakala adiknya masih dirawat di HPP dan dilaporkan masih belum sedar.

ZEHRA BINTI ZAMBRI