KUALA LUMPUR, 17 November - Seorang operator kren menara yang disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kabin pada ketinggian kira-kira 20 meter di tapak pembinaan Persiaran KLCC, di sini semalam diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisionar (ACP) Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan memaklumkan, mayat lelaki berkenaan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat hari ini.
“Polis menunggu laporan penuh bedah siasat dan kimia,” katanya.
Semalam, seorang operator kren menara disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kabin di tapak pembinaan berkenaan.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.43 petang dan satu jentera dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.