
KOTA BHARU, 29 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan mendadak panggilan kecemasan sebanyak 64 peratus melibatkan kebakaran terbuka sepanjang bulan ini.
- Sejak 1 Jan hingga 29 Mac, 1,418 kes dicatat; 1,089 melibatkan kebakaran terbuka merangkumi kira-kira 4,000 ekar.
- Kebakaran belukar tertinggi (880 kes); kebakaran hutan, sampah dan ladang juga dilaporkan. Daerah terjejas: Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas.
- JBPM lengkapkan 28 jentera, tujuh water tanker, jentera hidro-sub; pemantauan dipergiat, had air dan akses menyukarkan operasi, helikopter boleh digerakkan.
Peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kebakaran yang direkodkan sejak 1 Januari hingga 29 Mac mencecah 1,418 kes.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,089 kes melibatkan kebakaran terbuka dengan keluasan kira-kira 4,000 ekar di seluruh negeri.
Menurut beliau, kebakaran belukar mencatat jumlah tertinggi iaitu 880 kes, diikuti kebakaran hutan sebanyak 114 kes, kebakaran sampah 70 kes dan kebakaran ladang 25 kes.
“Daerah Kota Bharu merekodkan kes tertinggi kebakaran terbuka dengan 400 kes, diikuti Bachok sebanyak 278 kes dan Pasir Mas 173 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi berdepan situasi tersebut, beliau memaklumkan JBPM Kelantan kini dilengkapi 28 jentera bomba, tujuh water tanker berkapasiti 10,000 dan 20,000 liter serta sebuah jentera hidro-sub di 22 balai bomba di seluruh negeri.
Pemantauan turut dipergiat terutama di kawasan tanah gambut seluas kira-kira 19,000 ekar yang dikenal pasti berisiko tinggi, khususnya di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh, Tok Bali dan Pasir Mas.
Tambah beliau, trend peningkatan kes dijangka berterusan susulan ramalan cuaca kering oleh Jabatan Meteorologi sehingga pertengahan April dan berkemungkinan berlanjutan hingga Jun.
Langkah proaktif turut dilaksanakan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar bagi tindakan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka.
Walaupun keadaan masih terkawal, JBPM mengakui berdepan kekangan termasuk sumber air terhad serta kesukaran akses ke lokasi kejadian.
Sekiranya situasi menjadi kritikal, tindakan pembekuan cuti bersasar serta penggunaan helikopter Unit Udara Bomba akan dilaksanakan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.