fb fb fb fb fb

Kes denggi meningkat, lima kematian direkodkan pada ME 26/2024 - KKM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Julai- 2,788 kes denggi dilaporkan pada minggu ini, meningkat sebanyak 350 kes berbanding minggu sebelumnya hanya 2,438 kes.

Lima kematian turut direkodkan akibat komplikasi demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-26.

Dalam kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 26/2024 adalah sebanyak 75,263 kes berbanding 59, 057 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

Angka kematian akibat komplikasi demam denggi mencapai bilangan 60 orang berbanding 40 orang bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Kes membabitkan 78 lokaliti terdiri daripada 61 lokaliti di Selangor, lima di Perak, empat di Kedah, tiga di Negeri Sembilan, dua di Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua di Sarawak dan satu di Pulau Pinang.

"Bagi survelan chikungunya, terdapat tiga kes direkodkan pada ME 26/2024 dan jumlah kumulatif sehingga kini adalah 41 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan," kata kenyataan itu.

Bagi survelan zika, sebanyak 1,282 sampel darah, tujuh sampel urin dan tiga sampel cecair tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan
hasil kesemuanya adalah negatif.

KKM turut menyarankan agar aktiviti gotong-royong kendiri dilaksana secara berkala di premis masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM