fb fb fb fb fb

Kes denggi meningkat 86 peratus pada 2023

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad /FOTO RTM

PUTRAJAYA,15 Januari - Sejumlah 123,133 kes denggi dilaporkan sepanjang 2023 berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama tahun 2022.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia sekaligus menyaksikan peningkatan sebanyak 86.3% namun berkurang 5.4% berbanding tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19).

"Jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi pula adalah sebanyak 100 kematian pada 2023 berbanding 56 kematian pada tahun sebelum", katanya demikiandalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini.

Katanya, program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dilaksanakan di 32 lokaliti melibatkan 7 negeri bermula tahun 2019.

"Dari ini sebanyak 19 lokaliti telah lengkap 2 tahun 6 minggu dan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi 45% hingga 100% berbanding sebelum pelepasan".

"Jawatankuasa Kabinet mencadangkan perluasan pengoperasian nyamuk Aedes berWolbachia melalui pertambahan 10 lokaliti baru bagi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia yang memerlukan dana sebanyak 4 juta setahun bagi menampung kos operasi".

Sementara itu, Jawatankuasa Kabinet juga mencadangkan penglibatan PBT dengan menjadikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia sebagai Projek Angkat oleh PBT.

"Ia turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi strategik termasuk 14 kementerian, semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menangani isu denggi di Malaysia", katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD