KANGAR, 8 Januari- Jumlah kumulatif kes demam denggi di Perlis bagi tempoh Januari hingga Disember 2024 menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Sepanjang tempoh itu, hanya 250 kes demam denggi dilaporkan berbanding 821 kes dengan 1 kematian dilaporkan bagi tahun 2023.
Menurut Exco Kesihatan Negeri, Marzita Mansor, bagi tahun 2024, mukim yang mempunyai bilangan kes denggi tertinggi ialah Sena dengan 40 kes, diikuti Utan Aji 35 kes, Kuala Perlis 27 kes dan Chuping dengan 26 kes.
Jelasnya, walaupun berlaku penurunan kes yang sangat ketara, Jabatan Kesihatan Negeri tetap mempergiatkan aktiviti kawalan dan pencegahan di seluruh Perlis.
"Manakala bagi tempoh 1 Janauri sehingga 4 Januari 2025, sebanyak 5 kes denggi dilaporkan berlaku melibatkan lokaliti Kampung Behor Mali, Kampung Padang Siding, Batu 2 ½ Jejawi dan UiTM Cawangan Perlis serta Felda Chuping.
"Dua kawasan turut dikenal pasti sebagai lokaliti wabak denggi aktif iaitu Blok 3 dan Blok 5 Felda Chuping," katanya.
Tambah Marzita, ketika ini Perlis telah memasuki fasa akhir Monsun Timur Laut di mana keadaan cuaca yang panas dan kering serta berangin sejuk pada sebelah malam.
"Berikutan perubahan cuaca ketika ini, masyarakat setempat khususnya yang berada di kawasan wabak aktif untuk sentiasa mengambil langkah pencegahan dan kawalan kendiri bagi memastikan kawasan masing-masing bebas daripada denggi," katanya lagi.