fb fb fb fb fb

Kes COVID-19 meningkat 14.8% pada ME 20/2024

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan, jumlah kes COVID-19 meningkat 14.8 peratus kepada 1,230 kes pada Minggu Epidemiologi ke-20 (ME 20/2024) iaitu bagi tempoh 12 Mei hingga 18 Mei 2024.

Bagaimanapun, tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sejak 25 April 2024 sehingga kini.

Menurut kenyatan oleh KKM, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada ME 20/2024 berbanding ME 19/2024 iaitu pengisian katil bukan kritikal, meningkat sedikit tetapi tidak membebankan kapasiti hospital iaitu daripada 0.08 peratus kepada 0.10 peratus, manakala pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) menurun daripada 0.17 peratus kepada 0.04 peratus.

“KKM sentiasa memantau situasi COVID-19 di Malaysia dan di peringkat global. Susulan kejadian gelombang terbaru di Singapura iaitu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 pada minggu bertarikh 5 Mei hingga 11 Mei 2024 berbanding minggu sebelumnya, KKM telah meningkatkan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes di Malaysia.

"Sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya,"menurut kenyataan tersebut.

Kementerian itu turut memaklumkan terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes KP.1.1 telah dilaporkan sejak Mac 2024, dengan kedua-dua varian itu adalah sebahagian daripada keluarga Omicron.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE