KUALA LUMPUR, 19 Mei- Susulan peningkatan kes wabak COVID-19 di Singapura, Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan masyarakat supaya berjaga-jaga dan sentiasa mengamalkan kawalan kesihatan kendiri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi aplikasi X memaklumkan setakat semalam sebanyak 1,230 kes dengan peningkatan 14.8 peratus namun tiada kematian direkodkan sejak 25 April lepas.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya juga sedang memerhati trend semasa virus itu.
Terdahulu, Singapura merekodkan peningkatan hampir dua kali ganda kes mingguan COVID-19 awal Mei tahun ini.
Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung berkata, gelombang virus itu dijangka memuncak kira-kira dua hingga empat minggu akan datang dan pihaknya mengambil langkah awal bagi memastikan kapasiti mencukupi di hospital awam.