fb fb fb fb fb

Kes COVID-19 di Kedah menunjukkan pengurangan

Foto hiasan

ALOR SETAR, 3 Januari- Jumlah kes COVID-19 di Kedah pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52 bermula 24 Disember hingga 30 Disember 2023 menunjukkan pengurangan sebanyak 268 kes atau 20.4 peratus.
 
Kira-kira 1,045 kes COVID-19 direkodkan sepanjang tempoh tersebut berbanding 1,313 kes pada minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (Bersara) Mansor Zakaria dalam kenyataan memaklumkan, majoriti kes yang dilaporkan pada ME-52 adalah melalui saringan bergejala iaitu 89 peratus dan tiada kluster baharu dilaporkan pada minggu tersebut.
 
"Kebanyakan kes yang dilaporkan bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.
 
"Sebanyak 140 kes telah dirawat di hospital sepanjang minggu berkenaan dan tiada kematian baharu dilaporkan," katanya.
 
Sepanjang tempoh minggu terakhir tahun lalu itu, Daerah Kulim mencatatkan kes tertinggi iaitu 457 kes; manakala Daerah Yan mencatat kes terendah iaitu 8 kes.
 
Kumulatif kes di Kedah pada tahun 2023 adalah sebanyak 9,006 kes dengan jumlah kematian sebanyak 41 kes.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI