fb fb fb fb fb

Kes cabar enakmen, institusi kehakiman syariah akan terus diperkasa - Nai'm

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 22 November- Isu notis petisyen yang memohon pembatalan 20 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, tidak seharusnya dipolitikkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata ia akan menambahkan lagi kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Jangan disebabkan emosi, kita kita tidak tahu hujung pangkal, jejas ke tidak jejas sehingga kita menghukum orang lain.

Kita kena ingat usaha untuk memartabatkan institusi kehakiman syariah ini menjadi tanggungjawab kita semua orang politik ke orang bukan politik rakyat," kata Na'im kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan Naratif Khas di Angkasapuri Kota Media.

Tambahnya, isu itu juga telah membuka ruang kepada kerajaan bagi mengkaji semula undang-undang sedia ada sekali gus memperkasa institusi kehakiman syariah.

"Kes yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Ia memberi ruang kepada mahkamah syariah, kepada saya sendiri dan juga kepada JAKIM untuk kita lihat bagaimana kita hendak memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah mengikut bidang khusus yang dibenarkan di dalam Perlembangaan Persekutuan," tambah Na'im.

Terdahulu, peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman telah memfailkan petisyen memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 20 Seksyen Kesalahan Jenayah Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM