fb fb fb fb fb

Isu buli siber dibawa ke Kabinet Jumaat ini - Fahmi

Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 9 Julai- Kementerian Komunikasi meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan terhadap sejumlah individu kerana terlibat dengan pembulian siber di platform media sosial.

Menterinya, Fahmi Fadzil juga turut memaklumkan pihaknya akan membawa isu berkenaan ke Kabinet Jumaat ini.

"Saya telah minta pihak MCMC untuk bertindak ke atas sejumlah individu yang telah dikenal pasti, sama ada dalam Facebook 'live' , TikTok 'live'...mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh diklasifikasi sama ada sebagai buli siber ataupun mengeluarkan kandungan ataupun memuat naik komen-komen yang jelik dan apa-apa komen yang melanggar undang-undang.

"Kita nak pastikan internet selamat digunakan, terutama kanak-kanak dan keluarga bagi rakyat negara ini.

"Anda tidak tahu siapa lagi yang menonton Facebook 'Live', TikTok 'Live' itu.. kalau katakan anak anda sedang menonton dan anda cakap perkara seperti itu.. ataupun mereka melihat komen-komen yang kadangkala sebagai seorang dewasa, saya malu nak tengok ini ditulis oleh orang dewasa..jadi kita mesti berpada-pada, beradab.

"Insya-Allah saya akan bincang dengan menteri-menteri dan akan bawa ke Kabinet pada hari Jumaat ini," kata Fahmi dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Pengalaman AI CelcomDigi di sini.

Fahmi juga turut mengajak orang ramai untuk melawat Pusat Pengalaman AI CelcomDigi.

Ia mempamerkan pelbagai teknologi AI, yang sedang digunakan negara, sama ada projek rintis atau pengkomersialan.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said esok bagi membincangkan perkara berkaitan pembulian siber.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kecekapan perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan boleh dipertingkatkan menerusi kecerdasan buatan (AI) .

"Penggunaan teknologi AI bukan sahaja memudahkan tugasan, tetapi dapat mengurangkan beban kerja.

"Kerja juga menjadi lebih efisien disebabkan penggunaan AI.

"Memanfaatkan sepenuhnya teknologi yang menggunakan kesalinghubungan 5G, jadi saya lihat ia adalah usaha yang baik dan saya alu-alukan pihak CelcomDigi.

"Malah dalam ucapan saya tadi, saya juga menyebut sekiranya ada sebarang teknologi ataupun produk yang mungkin boleh digunakan daripada segi AI untuk membantu.

"...Dan sebagai contoh jabatan-jabatan kerajaan, kementerian-kementerian untuk melancarkan lagi proses ataupun aspek tadbir urus, aspek kecekapan bagi perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan, agensi ini amat alu-alukan," kata Fahmi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM