NIBONG TEBAL, 25 Jun - Kementerian Pendidikan (KPM) telah menjalankan siasatan dalaman berhubung kes buli terbaharu membabitkan pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Kerian, Perak seperti yang tular hari ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata kes itu menjadi keutamaan pihaknya dan telah menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
Bercakap pada sidang media di Sungai Bakap, di sini, Fadhlina menegaskan kementerian akan terus mengambil pendekatan mengekang kejadian buli di sekolah dari semasa ke semasa.
"Jadi saya ambil kesempatan ini untuk terus memperingatkan khususnya ibu bapa, para guru, komuniti dan juga anak-anak supaya tidak terjebak dengan gejala buli ini.
"Kita sudah pun menetapkan peraturan-peraturan dan penambahbaikan segala garis panduan kita berkaitan mengekang kejadian buli, khususnya di bawah institusi KPM," katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 13 tahun dilapor telah ditampar berulang kali oleh dua pelajar lain di dalam tandas sekolah kerana cemburu, sebelum bertindak merakam video dan menularkannya.