GEORGE TOWN, 8 November - Kementerian Pendidikan (KPM) sedia bertemu dan berbincang dengan ibu bapa atau waris kepada pelajar yang dikatakan menjadi mangsa buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, KPM juga sudah mengambil tindakan sewajarnya dan ketika ini masih dalam siasatan polis.
Beliau memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara adil tanpa mengira latar belakang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta sentiasa terbuka untuk berbincang berhubung perkara itu.
"Sekarang, kes ini adalah dalam siasatan polis. Terlebih dahulu KPM nak tegaskan kita tidak akan berkompromi dengan apa-apa kes buli. Ini memang kita ambil berat seperti yang pernah disuarakan oleh Menteri Pendidikan bahawa tiga kes, tiga isu yang paling utama itu gangguan seksual, kes buli dengan isu perkauman dia nak hapuskan semua sekali gus di sekolah. Jadi kita memang ada garis panduan pengurusan salah laku buli di institusi pendidikan di bawah KPM," katanya.
Lim ditemui pemberita selepas merasmikan Anjung Ketipang Payung Sekolah Kebangsaan(SK) Tan Sri P.Ramlee di sini hari ini.
Pada 4 November lepas, polis mengesahkan berlaku kes buli membabitkan pelajar sekolah menengah di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar bulan lepas seperti yang tular dalam media sosial, dan media pula melaporkan rasa tidak puas hati kedua-dua pihak, yakni pelajar Tingkatan empat yang dibuli dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).