PUTRAJAYA, 23 September - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan insiden membabitkan sekumpulan pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri tetap akan disiasat secara menyeluruh meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Menterinya, Hannah Yeoh menegaskan langkah tatatertib tetap akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
“Saya tidak menerima istilah 'prank' apabila ada elemen kekerasan. Kita akan pastikan semua institusi ILKBS kekal selamat dan pelajar boleh datang belajar dengan rasa terjamin,” katanya pada sidang media di Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.
Beliau menekankan tiada sebarang usaha untuk menutup kes ini dan memberi jaminan bahawa setiap siasatan dijalankan dengan telus.
Mengulas lanjut, Hannah berkata pasukan khas yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Chan Hong Jin bersama pegawainya telah dihantar ke Miri dalam tempoh 24 jam selepas laporan diterima bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh.
Hannah turut menambah, semua institusi latihan di bawah kementeriannya termasuk Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) perlu kekal sebagai ruang pembelajaran yang selamat untuk golongan muda.
Justeru, KBS akan memastikan semua pelajar yang terlibat disoal siasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan Lembaga Tatatertib Pelajar akan bersidang bagi menentukan bentuk hukuman sewajarnya.
Insiden berkenaan dipercayai berlaku pada 19 September sekitar pukul 4.30 petang di IKBN Miri dan hanya dilaporkan kepada pihak institut selepas video rakaman kejadian mula tular di media sosial pada 22 September.
Sejurus laporan diterima, IKBN Miri mengaktifkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Antibuli ILKBS, memanggil semua pelajar yang terlibat bersama ibu bapa mereka, serta menjalinkan kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
Laporan polis turut dibuat pada malam hari yang sama.
“Saya gembira dengan kecekapan pihak IKBN Miri yang segera mengaktifkan SOP dan membuat laporan polis pada hari yang sama. Ini penting untuk menunjukkan kepada ibu bapa bahawa kita tidak melengahkan tindakan,” ujar Hannah.
Pihak polis kemudian merakam keterangan pelaku, mangsa dan ibu bapa sebelum mengklasifikasikan kes sebagai NFA, berikutan keterangan mangsa yang menyatakan kejadian itu hanyalah gurauan.
Namun, KBS menegaskan tindakan disiplin tetap akan diambil oleh pihak institut, termasuk kemungkinan penggantungan atau buang sekolah terhadap pelaku.
Pada 23 September, Jawatankuasa Khas KBS yang diketuai TKSU (Strategik) tiba di Miri dari Putrajaya untuk menjalankan siasatan lanjut.
Hasil perbincangan bersama polis dan ibu bapa, tiga langkah penambahbaikan segera dipersetujui iaitu pelantikan Pegawai Perhubungan Institut oleh PDRM, pelaksanaan ceramah antibuli setiap tiga bulan kepada pelajar dan penyediaan kotak aduan di dalam kampus.
Semua pelajar yang terlibat juga dijadualkan menghadiri sesi kaunseling pada hari yang sama.
KBS menegaskan komitmennya untuk memastikan budaya buli tidak wujud di mana-mana institusi di bawah kementerian, sama ada dalam bidang belia, TVET mahupun sukan, sambil menegaskan bahawa keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka di IKBN serta ILKBS lain perlu sentiasa dijaga.