
ALOR SETAR, 11 Januari – Kes buli di Kedah mencatatkan peningkatan sebanyak 330 peratus iaitu 43 kes direkodkan sepanjang tahun 2025, meningkat berbanding hanya 10 kes pada tahun sebelumnya.
- Kedah rekod peningkatan kes buli sebanyak 330 peratus dengan 43 kes direkodkan sepanjang 2025.
- Banyak kes berlaku di sekolah menengah; 31 pelaku ditangkap dan tindakan undang-undang tetap dikenakan tanpa kompromi.
- Pendidikan keselamatan diri dan pendidikan seksual ditekankan untuk cegah jenayah serta kehadiran PDRM di sekolah sebagai pencegahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, daripada jumlah itu, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.
Beliau berkata, daripada keseluruhan kes tersebut, seramai 31 pelaku telah ditangkap dan satu daripadanya telah dituduh di mahkamah.
“Statistik berkenaan menunjukkan bahawa perbuatan buli bukan isu kecil dan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi.
“Selain isu buli, statistik berkaitan kes rogol membabitkan pelajar sekolah juga membimbangkan dengan sebanyak 90 kes direkodkan di Kedah sepanjang 2025.
“Daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan pelajar sekolah menengah, manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah,” katanya dalam ucapan pada Majlis Hari Pertama Pembukaan Sekolah Kalendar Akademik sesi 2026 di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat.
Katanya, siasatan Unit D-11 (Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mendapati kebanyakan kes rogol membabitkan pelajar sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.
Ia termasuk disebabkan pergaulan bebas tanpa pengawasan serta kepercayaan yang disalahgunakan.
Tambahnya, kesedaran terhadap keselamatan diri serta pendidikan seksual dalam kalangan pelajar amat penting bagi mencegah jenayah daripada terus berlaku.
Tegas beliau, tiada perlindungan undang-undang terhadap sebarang perlakuan jenayah, walaupun pelaku masih di bawah umur atau merupakan pelajar sekolah, dimana undang-undang akan tetap dilaksanakan tanpa kompromi.
Dalam pada itu, Datuk Adzli berkata kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah bukan bertujuan penguatkuasaan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan dan sokongan moral kepada pelajar, khususnya pada hari pertama persekolahan.