fb fb fb fb fb

Kes belia muflis catat penurunan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Jumlah kes muflis yang melibatkan golongan belia di negara ini menunjukkan trend penurunan dalam tempoh tiga tahun sejak 2020.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata sehingga Jun 2022, seramai 425 belia berusia 25 hingga 34 tahun diisytihar muflis. Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 1,060 kes direkodkan pada 2021.

Selain itu, trend muflis dalam kalangan golongan belia berumur 35 hingga 44 tahun juga mencatat penurunan pada tahun ini, iaitu hanya 1,179 kes dilapor dalam tempoh sama.

Jelasnya, berdasarkan Jabatan Insolvensi Malaysia, isu pinjaman peribadi menjadi punca utama kes muflis dalam golongan tersebut dengan mencatatkan 1,486 atau 47 peratus daripada 3,165 keseluruhan kes.

(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker)

"Selain itu, sebanyak 249 kes disebabkan oleh sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan (454 kes), pinjaman perumahan (284 kes), hutang kad kredit (140 kes), penjamin korporat (84 kes), hutang cukai pendapatan (83 kes), kegagalan membayar caruman KWSP (65 kes), biasiswa pinjaman kerajaan (7 kes) dan 113 kes disebabkan keberhutangan lain", katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.

Kerajaan menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia mempergiat usaha bagi memupuk kesedaran belia menerusi taklimat dan program bersama masyarakat ke arah mengurangkan kadar muflis dalam kalangan golongan tersebut.

Beliau menjawab soalan Senator Aziz Ariffin mengenai jumlah belia yang telah diisytiharkan muflis pada 2020 sehingga kini dan punca utama mereka diisytiharkan muflis.

Media Baharu