fb fb fb fb fb

Kes Batu Puteh: Jemaah Menteri setuju teruskan tindakan perundangan di ICJ

PUTRAJAYA, 13 Oktober- Jemaah menteri bersetuju meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembentangan oleh Pasukan Petugas Khas kes itu mendapati, terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman ICJ pada tahun 2008.

Ia termasuk permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Tun Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

"Pelbagai pendekatan telah dilaksanakan kedua-dua Pasukan Petugas Khas seperti meneliti dan menyemak dokumentasi serta material berkaitan, mengadakan siri perbincangan, mesyuarat dan lawatan kerja dalam serta luar negara.

Selain, khidmat konsultasi bersama pakar perundangan dan juruhidrografi luar negara, serta sesi temu bual dengan individu yang dikenal pasti bagi melaksanakan tugasan sebagaimana terma rujukan ditetapkan," menurut Perdana Menteri dalam satu kenyataan.

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Tambah Datuk Seri Ismail Sabri, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Sementara itu, jemaah menteri juga telah bersetuju untuk menyahklasfikasikan dan mendedahkan laporan siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk 'My Story: Justice In The Wilderness' yang ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada umum.

"Syor-syor hala tuju kerajaan dan penambahbaikan yang dicadangkan Pasukan Petugas Khas melalui kedua-dua laporan ini adalah bersifat telus, berkecuali dan inklusif dengan mempertimbangkan hasil analisa, penelitian serta pemerhatian ahli Pasukan Petugas Khas.

Pelaksanaan Pasukan Petugas Khas ini secara keseluruhannya menjelaskan komitmen Kerajaan untuk penyelesaian terbaik berkaitan perkara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya lagi.

Terdahulu dua Pasukan Petugas Khas telah membentangkan kedua-dua laporan tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 September dan 7 Oktober lalu.

Media Baharu